Kubur Panjang ia terletak di Mukim Rambai, Daerah Pendang.  Sehingga kini tiada siapa tahu mengapa dan bagaimana batu nesan itu boleh `bergerak' dari tempat asalnya hingga menambah ukuran panjang kubur itu. Kubur misteri yang dikelilingi banyak kubur lain di tanah wakaf seluas 0.4 hektar di tepi jalan utama itu pernah menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara yang ingin melihat keganjilannya.  Dulu ada penduduk membina batu penghalang di sekliling kubur itu, tetapi ia kini tertimbus akibat hakisan tanah, namun sepasang batu nesannya masih utuh.

Menurut cerita lisan orang tua sebelumnya, kubur panjang itu ada kaitan dengan janji tidak ditepati.  Lebih 200 tahun lalu dua beradik yang berasal dari Pattani, Thailand telah berhijrah ke Kampung Budi di Mukim Lesong kita-kira 10 kilometer dari Kubur Panjang. Dua beradik tersebut mempunyai ilmu kebatinan dan guru silat yang disegani sehingga salah seorang daripadanya dilantik menjadi ketua kampung.  Berdasarkan cerita dua beradik tersebut rajin bercucuk tanam dan bersawah sehingga mampu mengumpul harta yang banyak. 

Setiap kali selepas musim menuai penduduk mengadakan pertandingan menyabung ayam dan lokasi paling popular untuk kegiatan itu ialah di Kampung Mempelam Susu, di daerah sama.  "Suatu hari pertandingan secara besar-besaran diadakan dan seorang penduduk berjaya menjadi juara selepas mengalahkan ayam sabung yang lain. Selepas kemenangan itu dua beradik dicabar supaya bertanding dengan juara berkenaan.  Dua beradik yang masing-masing membawa ayam sabung itu enggan berlawan kerana tujuan asal ke situ hanyak untuk menyaksikan pertandingan itu sahaja, bagaimanapun selepas didesak penduduk akhirnya salah seorang daripadanya bersetuju berlawan.  Akhirnya ayam salah seorang daripada dua beradik itu berjaya mengalahkan pencabar berkenaan dan selepas kemenangan itu orang ramai minta dua beradik itu bersabung ayam sesama sendiri. Setelah didesak akhir nya dua beradik tersebut setuju dengan syarat yang menang dilarang menyorak yang kalah. 

Akhirnya ayam adik lelaki itu kalah dalam perlawanan tersebut, manakala abangnya yang terlalu gembira terlupa kepada perjanjian hingga bersorak kegembiraan bersama penonton yang menyaksikan perlawanan itu. Kerana malu, adiknya mencabut keris lalu menikam dada abangnya.  Sebelum mati abangnya berpesan kepada adiknya supaya tolong menjaga anak dan isterinya dengan baik.  Adiknya yang kesal dan sedih dengan kejadian itu bertindak membunuh diri dengan menikam dirinya menggunakan keris yang sama.  Ketika mengusung jenazah untuk dikebumikan di Kampung Budi penduduk terkejut apabila kedua-dua jenazah tiba-tiba menjadi semakin berat sehingga penduduk berhenti rehat beberapa kali.

Penduduk yang tidak mampu mengusung jenazah adiknya mengkemumikannya di situ, manakala jenazah abangnya dibawa ke Kampung Budi untuk disemadikan.  Apa yang menghairankan ialah apabila penduduk kampung menziarahi kubur adiknya pada keesokkan harinya batu nesannya berubah kedudukan hingga menjadikan kubur itu panjang.  Malah satu ketika dulu jika kubur itu diukur ukurannya sering berubah-ubah sehingga menimbulkan rasa pelik di kalangan penduduk dan digelar sebagai Kubur Panjang sehingga kini. Apa yang berlaku boleh dijadikan iktibar iaitu manusia patut berpegang pada janji dan perlu hidup rukun damai.

Sumber : http://pdp-pmukimrambai.blogspot.my/p/sejarah-kubur-panjang.html

SEJARAH KEWUJUDAN MUKIM TOBIAR

Tobiar merupakan salah satu mukim yang terdapat di dalam daerah Pendang, Kedah. Tobiar merupakan satu perkataan didalam bahasa siam yang berbunyi (Tubir) yang bermaksud pengkalan duit atau lubuk harta karun memandangkan kawasan itu diduduki oleh penduduk berbangsa melayu yang fasih berkomunikasi didalam Bahasa Siam. Penduduk dikawasan ini percaya dengan sejarah disebalik nama mukim ini memandangkan Tobiar begitu kaya dengan hasil pertanian sawah padi dan juga getah. Mukim Tobiar dipercayai wujud lebih kurang 150 tahun dahulu, ia ditakbir oleh beberapa orang penghulu memandangkan terdapat sebanyak 22 buah Kampung didalamnya.

SEJARAH KEWUJUDAN DAERAH PENDANG

Nama ‘Pendang’ dikatakan berasal daripada nama ‘Pendiat’ yang bermakna parit atau lubang yang digali khas untuk menangkap dan menjinakkan gajah. Gajah-gajah yang telah dijinakkan dimandikan di telaga sejarah yang terdapat berhampiran Balai Polis Daerah Pendang. Menurut sejarah, telaga ini adalah telaga asal dan tidak pernah kering walaupun di musim kemarau panjang. Anak-anak gajah dipelihara di sebuah kampung yang bernama Kubang Anak Gajah dan gajah-gajah yang mati pula akan ditanam di satu tempat bernama Kampung Gajah Mati.

Pada zaman tersebut, Pendang adalah tempat pembiakan gajah yang terbesar dan terkenal di Negeri Kedah selain dari Mukim Naga di Daerah Kubang Pasu. Gajah menjadi kenderaan utama pada masa itu terutama sebagai kenderaan darat untuk menghantar ‘ufti’ ( Bunga Emas ) ke Negeri Siam. Pendang merupakan sebuah daerah dalam Negeri Kedah Darul Aman yang diwartakan pada 1 Februari 1975 dan disempadani oleh Daerah Kota Setar di bahagian Utara, Daerah Yan di Barat, Daerah Padang Terap dan Sik di sebelah Timur dan Daerah Kuala Muda di bahagian selatan. Keluasan bagi Daerah Pendang ialah 62,929 hektar atau 629.29 kilometer persegi dan terbahagi kepada lapan mukim iaitu Mukim Tobiar, Mukim Padang Pusing, Mukim Guar Kepayang, Mukim Padang Peliang, Mukim Rambai, Mukim Bukit Raya, Mukim Padang Kerbau dan Mukim Air Puteh.

Sebanyak 27,639 hektar tanah di Daerah Pendang digunakan untuk tanaman getah manakala 18,462 hektar tanah digunakan untuk tanaman padi. Antara tanaman yang semakin pesat diusahakan di Daerah Pendang ialah rambutan, durian, cempedak, mangga, dokong, limau bali, nangka dan manggis. Sektor perniagaan yang terdapat di Daerah Pendang dibahagikan kepada dua kategori iaitu perniagaan formal (barang runcit dan perkhidmatan) dan perniagaan tidak formal (gerai dan penjaja). Aktiviti perniagaan di Daerah Pendang tertumpu pada kawasan penempatan utama seperti Pekan Pendang, Tanah Merah, Tokai, Kubur Panjang, Bukit Jenun, Kilang Kechik, Kobah dan Kampung Baru.

Daerah Pendang tidak mempunyai kawasan khusus untuk industri. Sektor perindustrian adalah berselerak di merata tempat. Industri di Daerah Pendang banyak tertumpu kepada hasil pertanian seperti kilang beras dan getah. 68 peratus kilang di daerah Pendang dimiliki oleh kaum Cina yang terlibat dalam semua jenis kilang. Melayu memiliki 26 peratus jumlah kilang di Daerah Pendang, hampir semuanya terlibat dalam industri makanan. Kaum-kaum lain memiliki kurang dari lima peratus.Daerah Pendang adalah sebuah daerah yang belum diterokai sepenuhnya dan mempunyai sumber yang mencukupi untuk dibangunkan sebagai satu daerah yang maju di masa hadapan melalui perancangan yang teratur dan terancang.